Tuesday 13 December 2011

KDYMM Tuanku Sultan umum pelantikan Jemaah Pemangku Sultan


KDYMM Tuanku Sultan umum pelantikan Jemaah Pemangku SultanPDFPrintE-mail
Hear this article
Isnin, 12 Disember 2011 17:23 | Ditulis oleh WADIASSOFI JAAFAR
ALOR SETAR, 12 Disember – Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Tuanku Sultan Kedah bertitah mengumumkan pelantikan Jemaah Pemangku Sultan, bagi memastikan agar segala urusan pemerintahan negeri ini dijalankan dengan sempurna dan teratur.
“Jawatan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan kepada Seri Paduka Adinda Beta telah diamanahkan kepada Tunku Bendahara Kedah, Yang Teramat Mulia (YTM) Dato’ Seri Utama Dato’ Seri Tunku Annuar Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Badlishah; Seri Paduka Adinda Beta yang dikasihi YTM Dato’ Seri DiRaja Tunku Sallehudin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Yang Teramat Mulia Dato’ Seri DiRaja Tunku Abdul Hamid Thani Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Seri Paduka Anakanda Beta yang dikasihi Tunku Panglima Besar Kedah, YTM Dato’ Seri DiRaja Dato’ Seri Tunku Puteri Intan Safinaz binti Sultan Abdul Halim Muadzam Shah sebagai Ahli di dalam Jemaah tersebut berkuatkuasa mulai 13 Disember 2011 bersamaan 17 Muharram 1433 Hijrah,” titah Baginda.
Baginda bertitah demikian pada majlis Istiadat Pelantikan Jemaah Pemangku Sultan Kedah sempena Pelantikan KDYMM Tuanku Sultan Kedah dan KDYMM Tuanku Sultan Kedah sebagai Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Permaisuri Agong ke-14 di Balai Penghadapan, Istana Anak Bukit, di sini. Baginda percaya bahawa tugas dan tanggungjawab Jemaah adalah berat tetapi Baginda yakin dan percaya bahawa Ahli-Ahli Jemaah Pemangku Sultan akan melaksanakan kewajipan mereka dengan penuh komitmen dan dedikasi dengan mendapat nasihat daripada Kerajaan Baginda yang dipimpin oleh Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri DiRaja Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak serta barisan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO). “Kepada Seri Paduka Adinda-Adinda dan Seri Paduka Anakanda, jalankanlah amanah ini dengan jujur dan dedikasi kerana Raja dan rakyat tidak boleh dipisahkan dan dijadikan keutamaan dan kepentingan negeri serta rakyat sebagai tanggungjawab yang dipikul dengan adil dan saksama,” titah Baginda.
Kepada anggota Kerajaan dan pentadbiran awam, Baginda juga turut berpesan supaya melaksanakan tugas dan kewajipan dengan penuh disiplin, dedikasi dan amanah. Walaupun Baginda berada ditampok Pemerintahan Persekutuan, namun kepentingan dan kesejahteraan rakyat dan negeri ini sentiasa berada dekat di hati sanubari Baginda. “Kepada pemimpin-pemimpin di semua peringkat, jadilah pemimpin yang berpegang teguh kepada nilai-nilai yang suci dan meletakkan kepentingan orang lain lebih daripada kepentingan diri sendiri. Allah SWT telah menjadikan manusia makhluk yang sempurna dan khalifah di muka bumi ini supaya kita semua melakukan kebaikan dan bukannya keburukan,” titah Baginda.
Baginda turut menyeru kepada seluruh rakyat yang dikasihi agar sentiasa mengekalkan persefahaman dan hidup di dalam aman damai serta harmoni. “Keamanan yang telah kita bina bukanlah datang bergolek tetapi adalah hasil titik peluh dan pengorbanan seluruh pemimpin serta rakyat dari segenap lapisan dan kaum untuk menjadikan negeri ini dan negara Malaysia apa yang kita lihat pada hari ini,” titah Baginda.
Baginda percaya tidak ada masalah yang tidak dapat diselesaikan dengan sifat toleransi, bertolak ansur, muhibbah serta berpegang teguh kepada ajaran agama masing-masing yang semuanya mengutamakan ketenteraman dan keamanan umat. “Ambillah iktibar dari apa yang berlaku di negara-negara lain kerana keamanan dan kemakmuran yang kita bina selama ini boleh musnah dalam sekelip mata jika kita membiarkan api permusuhan merebak di dalam hati sanubari kita semua,” titah Baginda.
Baginda bertitah, marilah kita sama-sama berdoa mudah-mudahan kita dikurniakan dengan kebijaksanaan untuk memilih apa yang terbaik untuk diri kita, keluarga, masyarakat dan negara.

No comments:

Post a Comment