Tuesday 13 December 2011

DAULAT TUANKU! DAULAT TUANKU! DAULAT TUANKU!


Keberangkatan balik Tuanku Mizan



YANG di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah melambaikan tangan kepada para pemimpin negara dan rakyat ketika berangkat balik di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang, semalam. – BERNAMA



KUALA LUMPUR 12 Dis. – Ketibaan Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Tuanku Nur Zahirah di Dataran Parlimen sempena Istiadat Keberangkatan Balik Seri Paduka yang tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 berlangsung dengan penuh adat istiadat diraja.
Ketibaan pasangan diraja itu disambut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman sambil diiringi tiupan nafiri oleh 20 anggota daripada Rejimen Kedua Kor Armour Diraja.
Tuanku Mizan dan Tuanku Nur Zahirah yang berpakaian rasmi kemudiannya diiringi oleh Najib dan Muhyiddin bersama isteri masing-masing ke pentas diraja dan melintasi pasukan kawalan bertombak diikuti persembahan tabik Hormat Diraja oleh kawalan kehormat dan disusuli lagu Negaraku oleh Pasukan Pancaragam dari Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja yang dipimpin oleh Mejar Ahmad Muzaimi Mohd. Ali.
Pada masa sama, panji peribadi Yang di-Pertuan Agong berwarna hijau dan kuning turut dikibarkan sambil diiringi tembakan meriam sebanyak 21 das.
Tuanku Mizan kemudiannya berkenan memeriksa barisan kawalan kehormat Batalion Pertama Regimen Askar Melayu Diraja yang terdiri daripada 103 anggota dan pegawai yang diketuai oleh Leftenan Mohd. Nor Azizan Yahya.
Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh kemudiannya memimpin bacaan doa selamat dan disusuli tabik Hormat Diraja serta lagu Negaraku sekali lagi.
Pasangan diraja itu kemudian bersalaman dengan barisan Jemaah Menteri, ahli-ahli Parlimen, serta wakil kedutaan asing sebelum berangkat ke Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.
Sementara itu di kiri, kanan jalan menuju ke bangunan Parlimen, rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat dan kaum berbaris panjang sambil mengibarkan bendera Malaysia untuk mengucapkan selamat berangkat balik kepada Tuanku Mizan dan Tuanku Nur Zahirah.
Tuanku Mizan ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 pada 26 April 2007.

**********************************************************************************************************************************

Tuanku Abdul Halim lafaz sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-14

13/12/2011 11:42am

KUALA LUMPUR 13 Dis. - Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu”azam Shah hari ini melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 dalam upacara penuh adat istiadat di Istana Negara di sini.
Ini merupakan kali kedua baginda dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong.
Kali pertama ialah dari 21 Januari 1970 hingga 20 September 1975 semasa berusia 43 tahun.
Tuanku Abdul Halim, 84, dipilih oleh Raja-raja Melayu pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang ke-226 (Khas) di Istana Negara pada 14 Okt lepas untuk tempoh lima tahun berkuatkuasa hari ini, bagi menggantikan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin yang tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 semalam.
Sistem penggiliran Yang di-Pertuan Agong dalam kalangan sembilan Raja Melayu dimulakan sejak negara Merdeka pada 31 Ogos, 1957.
Istiadat hari ini merupakan istiadat seumpamanya yang pertama kali diadakan di Istana Negara yang baru dibina bercirikan binaan Islam dan tradisional Melayu di kawasan seluas 96.52 hektar, yang mula beroperasi pada 15 November lepas. - Bernama

No comments:

Post a Comment